KEMAMAN, 22 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka di Chukai, Kemaman, di sini, semalam.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh orang ramai, yang turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kedua-dua pemimpin tersebut.
Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama Anwar telah menghadiri satu Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu (JPP) di pusat latihan Chukai, INTAN Kampus Wilayah Timur (INTIM).
Cuaca mendung dan berangin dengan hujan sebelum itu tidak menghalang kehadiran pengunjung yang ramai di bazar berkenaan.
Lawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar bermula sekitar jam 6.32 petang
Di sebalik hiruk-pikuk bazar yang meriah dengan laungan peniaga mempromosikan makanan mereka, kelibat Perdana Menteri dan Menteri Besar mula mencuri tumpuan.
Tokoh-tokoh awam terkemuka itu melanjutkan kunjungan mereka dengan meluangkan masa menyantuni peniaga tempatan serta meninjau pelbagai jenis juadah yang ditawarkan.
Kunjungan yang mengambil tempat di salah satu bazar Ramadan terbesar di Chukai itu diteruskan dengan acara berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad sebagai sebahagian daripada agenda rasmi beliau di Terengganu petang tadi.
Majlis berbuka puasa tersebut dihadiri lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin tempatan, para ulama, pelajar, dan penduduk setempat.