APC Bulanan WDI Pencetus Kecemerlangan

KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 menjadi pencetus azam kepada tenaga kerja kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadi lebih cemerlang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia berkata, penyampaian anugerah itu bertujuan bagi meningkatkan mutu dan daya hasil kerja dalam kalangan penjawat awam terutamanya di Wisma Darul Iman untuk menjadi lebih proaktif dan produktif dalam menjalankan tugas.

Seramai 20 orang penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit Wisma Darul Iman telah terpilih menjadi penerima APC bulanan WDI bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun 2024.

Beliau berharap bahawa pemberian anugerah wang berjumlah RM500 dan sijil penghargaan itu bakal menjadi pemangkin dan penanda aras kepada semua penjawat awam di Wisma Darul Iman untuk terus mengekalkan prestasi yang baik.

Beliau juga menekankan bahawa keinginan untuk mengubah diri adalah salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan kendiri dan kecemerlangan yang berterusan.

“Walaupun dengan sistem baik yang ada di Wisma Darul Iman ini sekalipun, jika kita tidak ingin berubah kita akan kekal berada di takuk yang lama.

“Justeru, untuk menjadi cemerlang, kita harus beriltizam untuk berubah dari segala segi dan muhasabah akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri.

“Untuk mencipta masa depan yang lebih baik, kita harus mencabar diri dengan memikirkan langkah-langkah baru yang lebih efisien dan relevan dalam setiap cabaran kerja seharian.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.


 


Tag: