Berita :
Lebih 90,000 Peminat Motosikal Berkuasa Tinggi Bakal Meriah TIBW 2026
Lebih 90,000 Peminat Motosikal Berkuasa Tinggi Bakal Meriah TIBW 2026
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
87

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Himpunan terbesar peminat motosikal berkuasa tinggi, Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Jun depan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dijangka mampu menarik lebih 90,000 peminat sukan permotoran berkenaan.

Program yang memasuki edisi ke-13 itu dianjurkan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama East Coast Motorcycle Club (ECMC).

Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bersama ECMC dalam memperkukuhkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta membuat persiapan awal bagi kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran pengunjung dalam skala besar itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negeri menerusi limpahan perbelanjaan dalam sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.

Menurut beliau, manfaat tersebut akan dirasai oleh pengusaha hotel, homestay, restoran, peruncit, penyedia perkhidmatan pengangkutan serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping mempromosikan keindahan destinasi pelancongan alam semula jadi Terengganu kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

"Ini adalah satu rangkaian ekonomi dalam sektor pelancongan Terengganu, justeru kita memang menyokong penuh penganjuran TIBW," katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran TIBW 2026 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Pengasas ECMC, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Menurut Razali, daripada jumlah itu, lebih 15,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar dijangka menyertai himpunan berprestij berkenaan.

“Penyertaan antarabangsa turut mencatatkan hampir 300 penunggang motosikal dari pelbagai negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, Amerika Syarikat dan Jepun,” ujarnya.






Ketupat

Artikel Berkaitan