Jalur Gemilang
Berita :
Pelabur China Intai Terengganu Bangunkan Hab Halal
Pelabur China Intai Terengganu Bangunkan Hab Halal
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Terengganu berpotensi menjadi destinasi pelaburan baharu bagi pelabur dari China yang berminat membangunkan pusat pengeluaran produk halal sekali gus menembusi pasaran halal global yang semakin berkembang.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, minat itu tercetus susulan beberapa siri lawatan ke China bagi meneroka peluang pelaburan dan memperkenalkan potensi negeri kepada pelabur negara berkenaan.

Menurutnya, hasil dua lawatan tersebut, pelabur terbabit menunjukkan komitmen positif untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia, khususnya di Terengganu.

“Ketika ini, perbincangan sedang dilakukan bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan pusat pengeluaran produk halal berkenaan.

“Pelabur ini sudah mempunyai produk sendiri, namun kebanyakannya ketika ini berstatus buatan China. 

"Apabila pengeluaran dipindahkan ke Terengganu, produk mereka berpotensi memperoleh status buatan Malaysia selain pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Terengganu Smart City Activation Day (TSCA) 2026, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nurkhuzaini 
, pihaknya akan memperincikan syarat dan prosedur pensijilan halal kepada pelabur terbabit bagi memastikan semua keperluan serta piawaian ditetapkan dipatuhi.

Katanya, pelabur berkenaan bukan sahaja memerlukan lokasi sesuai untuk membangunkan operasi pengeluaran, malah turut melihat potensi bekalan bahan mentah tempatan bagi memenuhi keperluan industri mereka.

"Perkembangan itu dijangka membuka peluang baharu kepada industri hiliran negeri, khususnya pengusaha dan pembekal bahan mentah tempatan yang berpotensi menerima permintaan lebih tinggi apabila operasi berkenaan direalisasikan," ujar beliau lagi.

Menurutnya, pasaran halal global yang semakin berkembang turut menjadi faktor utama menarik minat pelabur China untuk meneroka peluang dalam industri berkenaan.

Katanya, konsep halal kini bukan sahaja mendapat perhatian pengguna Islam, malah semakin diterima dalam kalangan pengguna bukan Islam yang mengaitkannya dengan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti produk.

“Permintaan terhadap produk halal sangat besar dan ini membuka peluang kepada China untuk memanfaatkan keupayaan pengeluaran mereka bagi memenuhi keperluan pasaran berkenaan,” jelasnya lagi.

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan kos pengeluaran yang lebih tinggi di Malaysia berbanding China, beliau berkata, pelabur terbabit yakin perkara itu dapat ditangani menerusi pengeluaran berskala besar.

Jelasnya, peningkatan jumlah pengeluaran dijangka membantu mengimbangi kos operasi sekali gus membolehkan produk yang dihasilkan kekal berdaya saing di pasaran.

Usaha menarik pelaburan itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Terengganu dalam industri halal, selain merancakkan aktiviti perindustrian dan mewujudkan limpahan ekonomi kepada pemain industri tempatan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan