KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'.
"Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
"Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini.
"Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.