Aplikasi TMeA Diperkenalkan Sempena MATTA Fair
Terengganu melalui Tourism Malaysia memperkenalkan aplikasi Tourism Malaysia eBrochures App (TMeA) dan pakej pelancongan Dekat Je Holiday Packages 2017.
Aplikasi itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman pada Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen- Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Abdul Hakim berkata, TMeA merupakan aplikasi terbaharu yang membolehkan pelancong mendapat akses penuh risalah dalam talian.
Katanya, ianya memaparkan tujuh segmen iaitu pakej, peta, destinasi, panduan umum, panduan serantau, acara dan special interest.
"Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui google play dengan menaip eBrochures atau Tourism Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program itu.
Hadir sama, Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat.
Manakala pakej pelancongan Beautiful Terengganu Dekat Je, Wan Abdul Hakim memberitahu, sebanyak 16 pakej disediakan termasuk ekopelancongan, lawatan sekitar bandaraya, pakej islamik, pulau, edupelancongan dan pakej berbulan madu.
"Setiap pakej menawarkan aktiviti dan harga berlainan, antaranya Aqua Islamik Vacation dengan tawaran harga hanya RM329 seorang," katanya.