APM Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir

Che Adam menyampaikan taklimat pengurusan bencana yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Abu Ubaidah Mohd Noor

Dalam usaha untuk memastikan anggotanya lebih bersedia menghadapi ancaman banjir penghujung tahun ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu terus komited mengadakan latihan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Lt. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, dengan kekuatan anggota seramai 700 orang yang sentiasa bersiap sedia, latihan seperti pengendalian bot dan menyelamat mangsa akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Kita akan teruskan seperti tahun-tahun dahulu yang mana latihan-latihan yang diadakan melibatkan agensi dan juga jabatan di peringkat daerah dan juga negeri termasuk dari aspek pengurusan aset yang kita lakukan secara lebih bersistematik tahun ini.

“Antara agensi keselamatan lain yang bersama APM termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan juga pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Pengurusan Bencana yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas mengenai taklimat tersebut katanya, Sektretariat Pengurusan Bencana Banjir Peringkat Negeri Terengganu telah diamanahkan untuk mengadakan satu taklimat khas berkaitan pengurusan bencana peringkat negeri dan juga daerah kepada Menteri Besar, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Udangan Negeri serta Pegawai Daerah negeri ini.

“Antara yang dibentangkan termasuk berkaitan aspek pengurusan bencana untuk dipanjangkan ke peringkat komuniti masing-masing.

“Seperti mana kita sedia maklum, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan yang sangat penting bersama dengan agensi kerajaan dan juga pejabat daerah selaku pengurus bencana peringkat daerah bagi kesiapsiagaan peringkat awal menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka akan mengakibatkan berlaku banjir pada penghujung bulan Oktober atau awal November ini,” ujarnya.

Katanya, turut dimaklumkan berkaitan struktur organisasi yang terlibat ketika pengurusan bencana banjir dimana pengemblengan tenaga diantara agensi dan juga jabatan kerajaan serta peranan yang berhormat kawasan masing-masing dan juga NGO dan komuniti setempat bagi melicinkan operasi pengurusan bencana banjir sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyambut baik taklimat yang disampaikan dan akan memberikan sokongan penuh termasuk dari segi kewangan, logistik dan sebagainya bagi membantu dalam aspek kesiapsiagaan keselamatan pengurusan bencana peringkat negeri Terengganu.

“Apa yang penting, diharapkan semua jabatan dan agensi yang terlibat dapat bekerjasama termasuk dalam mengembleng tenaga supaya dapat kita  mengoptimakan pengurusan bencana ini secara baik, bersistematik bermula dari peringkat bawahan iaitu komuniti, daerah, negeri,” ujarnya.


Tag: