Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 5 April- Terdapat penurunan ketara dari segi penangkapan bot nelayan asing sejak Januari hingga April di perairan Terengganu tahun ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu memaklumkan, hanya sebanyak tujuh tangkapan bot asing ditahan akibat menceroboh perairan negeri berbanding 40 tangkapan yang dibuat dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pengurangan kes tersebut mungkin disebabkan beberapa faktor.
"Antaranya, kita percaya kehadiran pengawasan pengawal pinggir laut Vietnam di sekitar sempadan perairan mereka.
"Kita juga opitimis tindakan Vietnam turut mengambil tindakan tegas terhadap nelayan mereka menyebabkan mereka kurang memasuki perairan negara. Berdasarkan maklumat dari pekerja-pekerja di pelantar minyak kebanyakan bot-bot asing kini hanya bermain di sekitar sempadan sahaja.
"Kita juga dimaklumkan kedutaan Vietnam yang datang ke sini bulan lalu bahawa mereka telah menghantar pulang warga mereka dan didapati 70 peratus daripadanya adalah nelayan yang ditahan hasil operasi yang kita laksanakan ini.
"Apa yang mereka buat, kedutaan pergi ke syarikat-syarikat di mana nelayan-nelayan mereka yang ditahan untuk membuat pemantauan dan mendidik warga mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media tangkapan terbaru nelayan asing di Pejabat Maritim negeri, semalam.
Menurut Suffi, dalam operasi dilaksanakan melalui Ops Kuda Laut sejak Khamis hingga Sabtu lalu, sebanyak enam bot nelayan asing Vietnam ditahan di enam lokasi berbeza.
Seramai 57 kru termasuk tekong berumur antara 21 hingga 61 tahun ditahan pada kedudukan 68.5 hingga 130 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu oleh Kapal Maritim (KM) Redang dan KM Gemia yang sedang melakukan rondaan penguatkuasaan.
Dalam kes berkenaan, APMM merampas 15 tan ikan pelbagai jenis, 50 kilogram sotong kering, 3,000 liter minyak diesel, dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.