KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Golongan pendakwah, guru pondok serta asatizah yang menjadi aset penting kerajaan negeri diraikan dalam majlis Kalam Nuqaba Ramadan di Hati dan Iftar Jamaei bersama Murabbi Ummah baru-baru ini sebagai menghargai jasa mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas segala curahan ilmu agama dan nasihat dalam mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat lelah.
“Majlis kali ini bukan saja iftar, tetapi meraikan ustaz dan ustazah yang membantu dan memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan segala usaha dakwah yang dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT),” ucapnya ketika merasmikan majlis tersebut, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Pemuafakatan Barakah Terengganu, Ustaz Ismail Osman, Pengarah Akademi (DUAT), Ustaz Ramlan Hj Mahmood, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS), Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Ustaz Nasir Abdul Razak.
Menurut Mohd Nor, momentum kecemerlangan dakwah yang ada hari ini perlu dikekalkan dan diperluaskan ke peringkat-peringkat lain.
“Ada tugas-tugas dakwah yang ada ruang-ruang yang perlu disempurnakan.
“Maka dalam menyempurnakan kerja dakwah khususnya yang melibatkan pendakwah-pendakwah yang tidak ada ikatan dengan pejabat agama, Yayasan Islam Terengganu atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) perlu dikumpulkan dan digerakkan, perlu dipegang tangan masing- dalam melaksanakan kerja dakwah ini.
“Alhamdulillah, sudah tentulah di hadapan saya ini memiliki peranan yang besar dalam melaksanakan semua dasar-dasar dan polisi-polisi kerajaan negeri khususnya dalam memperkasakan usaha dakwah, bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid seiring bersama membangunkan negeri dengan gerak kerja dakwah yang bersepadu dan usaha yang jitu di seluruh pelusuk kampung,” katanya.
Beliau turut menyeru agar para daie bukan sahaja pandai berkata-kata dan menjadi penonton tetapi libatkan diri secara langsung dalam menyeru berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian.