Berita :
Kerajaan Negeri Salur RM5.47 Juta Untuk Institusi Pendidikan Islam Swasta
Kerajaan Negeri Salur RM5.47 Juta Untuk Institusi Pendidikan Islam Swasta
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Negeri terus memperkukuh institusi pendidikan Islam swasta apabila RM5.47 juta disalurkan dalam tempoh dua tahun bagi memastikan kelangsungan operasi dan peningkatan kualiti pendidikan di negeri itu.

Berdasarkan maklumat rasmi, sebanyak RM2.74 juta diperuntukkan pada tahun 2024 melibatkan 135 institusi, diikuti RM2.735 juta pada tahun 2025 untuk jumlah institusi yang sama, menjadikan keseluruhan bantuan mencecah RM5.475 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, Kerajaan Negeri turut menyelaras dan memperkasakan institusi terbabit melalui kerjasama pelbagai agensi selain menyediakan bantuan kewangan.

"Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan pengurusan dalam bentuk kewangan kepada institusi-institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) ini dan juga dengan kerjasama daripada JAKIM, KPM dan MAIDAM dalam menyelaraskan dan memperkasakan institusi-institusi ini," katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berhubung pelan jangka panjang pendidikan non-formal di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menekankan usaha mengarusperdanakan sistem pendidikan Islam melalui pelaksanaan kurikulum bersepadu yang menggabungkan elemen akademik dan diniyyah.

"Kurikulum Bersepadu kita perkenalkan bermula daripada peringkat ini, di semua SRIDI kita iaitu melibatkan mata pelajaran kurikulum Diniyyah," jelas Satiful.

Tambahnya, pendekatan itu bukan sekadar menggunakan kurikulum konvensional semata-mata, sebaliknya memperkukuh institusi pondok dan sekolah agama rakyat agar terus relevan.

"Yang bukan hanya menggunapakai kurikulum konvensional KPM tapi juga menggunakan kurikulum Diniyyah dan UPKK untuk kita arus perdanakan dan juga memperkasakan institusi pondok yang sedia ada, antaranya untuk meneruskan kelangsungan guru-guru.

"Sebab itu kita hantar pelajar-pelajar dari pusat Tafaqquh kita ini ke Mesir. Tahun ini merupakan tahun akhir dan mereka akan pulang dan akan mula berkhidmat ke istitusi-institusi pondok kita selama enam bulan untuk mencungkil dan mencari pengalaman dan sebagainya," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan ke atas semua institusi pendidikan Islam swasta bagi menjamin kualiti pengurusan dan penyampaian pendidikan.

"Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan pengurusan dalam bentuk kewangan kepada Institusi-institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) ini dan juga dengan kerjasama daripada JAKIM, KPM dan MAIDAM dalam menyelaraskan dan memperkasakan istitusi-institusi ini," ujarnya.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan