Sultan Mizan berkenan merakam kenangan bersama Avengers. |
Baginda yang diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bermesra dengan kucing yang diberi nama D’Rimba Qaseh Avengers Infinity Wars atau lebih dikenali sebagai Avengers.
Pemiliknya, Julieka Nasir berkata, dia juga tidak menyangka kucing baka Exotic Short Hair itu mempunyai induk yang sama dengan haiwan peliharaan keluarga Sultan Mizan.
“Sebenarnya kucing ini merupakan baka yang lahir dari Cattery saya sendiri iaitu De Rimba Qaseh dan ibunya hanya melahirkan dua anak, Avengers dan saudaranya itu.
“Saya telah memelihara Avengers selama enam tahun dan telah membawanya menyertai pertunjukan di pelbagai peringkat,” katanya ketika ditemui dalam program yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak itu.
Julieka menunjukkan Avengers. |
Menurut Julieka, kucing berkenaan pernah memenangi beberapa anugerah, antaranya Best Malaysian Breed dalam International Cat Show oleh Fédération Internationale Féline (FIFe) serta anugerah Best Kitten dalam beberapa pertunjukan lain.
Wanita dari Shah Alam, Selangor itu turut menjelaskan, penyertaannya dalam Cat Show merupakan hobi yang juga menjadi landasannya menceburi dunia Cat Fancy International.
“Banyak pertunjukan yang telah saya sertai dan bidang ini semakin berkembang dan mendapat tumpuan. Dari segi penganjuran kita juga sudah bertaraf antarabangsa dan kerap menjadi tuan rumah dalam pelbagai acara.
"Bukan itu sahaja, kita juga semakin maju dan banyak baka-baka yang lahir di Malaysia sudah terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terengganu CFA International Cat Show yang julung-julung kali diadakan itu berakhir semalam dan berjaya menarik ribuan pengunjung untuk merasai pengalaman baharu melihat kucing-kucing pelbagai baka yang unik dan menarik.