KUALA NERUS, 11 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati ketika beriadah di tepi pantai susulan penemuan dua ekor ulat laut (fireworm) terdampar di pantai di sini, semalam.
Ketua Unit Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan, Prof Madya Dr Izwandy Idris berkata, ulat bulu laut ditemui itu dipercayai daripada spesies 'Amphinome Rostrata' (Pallas 1766) itu dijumpai oleh sukarelawan pusat berkenaan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Katanya, bahagian ulat bulu yang digelar 'chaetae' berbentuk tajam serta rapuh mudah melekat pada kulit apabila disentuh.
"Spesies ini mempunyai kelenjar bisa (venom gland) yang mana ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan chaetae yang patah.
"Gabungan luka akibat chaetae yang patah dan bisa dari kelenjarnya boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, pengunjung pantai dinasihatkan agar berhati-hati sekiranya terjumpa A. rostrata atau mana-mana organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu tersebut.
Katanya,Ulat bulu laut merupakan nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut (Annelida, Polycheata) yang mempunyai struktur seperti kuku (cheatae) di seluruh badan yang menyerupai ulat bulu.
"Namun, dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil fireworm (cacing api) kerana rasa sakit seperti terkena api apabila menyentuh atau memegang haiwan itu. Elakkan daripada menyentuh haiwan ini serta jauhkan dari kanak-kanak," katanya.
Izwandy yang juga Pensyarah Biologi, Diversiti dan Ekologi Invertebrat Bentik UMT berkata, haiwan berkenaan dipercayai dihanyutkan ombak yang kuat sehingga terdampar di pantai Terengganu.
"Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Laut China Selatan ketika ini menyebabkan banyak organisma dan benda-benda lain dihanyutkan ke pesisir pantai disebabkan arus dan ombak yang kuat.
"Amphinome rostrata merupakan spesies yang banyak berasosiasi (berhubungan) dengan teritip angsa (Goose Barnacle) yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut (marine debris) dan dijumpai di lautan seluruh dunia," katanya.