Ayam Payang Dalam Kenangan Tarik Perhatian Pengunjung


KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Setiap kali Ramadan menjengah, pasti ada satu perasaan unik yang sukar digambarkan berbanding bulan sebelumnya, di samping kemeriahan berpuasa dan solat sunat tarawih, kewujudan bazar Ramadan juga mewarnai suasana.

Namakan saja apa jenis makanan yang anda idamkan, baik tradisional ataupun barat, semuanya sedia dijual dengan ratusan deretan peniaga di bazar Ramadan, sehingga anda jadi rambang mata memilihnya, hanya sediakan duit sahaja tetapi jangan sampai membazir.


Antara hidangan lazat yang menjadi buah mulut orang ramai ialah ayam payang (tempayan). Malah menu istimewa itu mempunyai peminatnya sendiri dan mendapat permintaan yang tinggi.

Pemiliknya, Mohd Shaharudin Shafie, 26,  berkata, ayam yang dibakar di dalam tempayan mendapat sambutan penduduk setempat kerana aroma dan kelainan rasanya berbanding ayam lain.

Mengenai keistimewaan ayamnya, Mohd Shaharudin sempat berkongsi rahsia bahawa ayamnya akan diperap dengan ramuan rempah ratus khas  selama lapan jam sebagaimana yang dipelajari di Thailand dan di Malaysia sendiri tujuh  tahun lalu sebelum dipanggang di dalam tempayan besar.

"Ia dimasak menggunakan bara arang sehingga menghasilkan isi yang lebih lembut berbanding ayam yang digoreng malah tempayan baharu yang digunakan itu mampu memuatkan 25 ekor ayam dalam satu-satu masa dan dapat dimasak dengan lebih cepat iaitu kira-kira satu jam berbanding sebelum ini tiga jam.

“Rata-rata pelanggan memberi komen yang positif dengan rasa ayam yang berjus, lembut dan terasa rempah sehingga ke tulangnya dan setiap hari kami memperuntukkan 150 hingga 250 ekor ayam yang dijual pada harga RM24 seekor serta setiap pembelian percuma dengan sebotol air jus buah,” katanya.

Mohd Shaharudin.
Jelasnya lagi, kawalan api melalui kayu arang yang sempurna sepanjang proses memanggang penting bagi memastikan ayam tidak hangus hingga mengubah rasa, warna dan kualiti.

Jika sebelum ini mereka berniaga di tujuh lokasi berbeza setiap tahun, tetapi untuk tahun ini hanya fokus di Bazar Ramadan Batu Burok dengan menyewa enam lot tapak dan pada  tahun ini mereka menambah tiga tempayan lebih besar menjadikan kesemuanya 15 tempayan digunakan.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ingin merasai ayam payang selepas Ramadan, kini kami dalam proses membuka sebuah kedai di Kuala Ibai selepas raya nanti dan insya-Allah tidak ada masalah lagi jika pelanggan nak membelinya serta tidak perlu menunggu tahun depan,” ujarnya lagi.

Perniagaan mereka bukan semata-mata untuk tujuan kewangan, tetapi juga menyimpan simbolik dan kenangan tersendiri demi sahabat tercinta, Allahyarham Mohd Lukman Riduan yang telah pulang ke rahmatullah dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

“Arwah adalah antara orang yang mencetus perniagaan ini termasuk memberi dorongan dan idea dalam perniagaan ayam payang. Bila arwah pergi, kami mengambil keputusan untuk menukar nama perniagaan kami kepada Ayam Payang Dalam Kenangan sebagai tanda ingatan kami yang tidak pernah pudar kepadanya.

“Malah sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan ini akan kami salurkan kepada keluarga arwah dan juga rumah anak yatim terpilih,” katanya ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini baru-baru ini.

Mohd Shaharudin berkata, beliau bersyukur kerana perusahaan Ayam Payang Dalam Kenangan Bazar Ramadan Batu Buruk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Tag: