KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memastikan pengurusan sistem saliran serta mitigasi banjir dilaksanakan dengan berkesan, khususnya di kawasan terlibat dengan pembinaan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata pihaknya dengan Kerjasama JPS sentiasa mengambil perhatian serius serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
“Antara tindakan yang telah diambil ialah kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengorekan saliran di beberapa kawasan terjejas termasuk Anak Sura Kampung Sura Tengah, Sungai Dungun serta beberapa kampung sekitar.
“Selain itu, JPS turut menjalankan pemeriksaan berkala di jajaran ECRL bagi mengenal pasti sebarang gangguan terhadap sistem saliran sedia ada,”katanya.
Beliau berkata demikian di Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Hanafiah berkata, JPS juga sentiasa menyelaras dengan pihak kontraktor ECRL supaya kerja pembinaan mematuhi keperluan teknikal termasuk penyediaan saliran sementara, kawalan hakisan dan langkah mitigasi yang sesuai.
“Apabila projek siap kelak, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak kontraktor melaksanakan pemulihan serta pengembalian sistem saliran 21 yang terjejas ke keadaan sewajarnya mengikut syarat teknikal yang ditetapkan,”ujarnya.
Tag :