Ayam Tin Minyak Aluminium Laris

KUALA NERUS, 21 April -  Ramadan ibarat syurga bagi pembuat makanan atau menu yang unik kerana masakan mereka sering mendapat perhatian pembeli.

Makanan itu juga menjadi kesukaan ramai kerana 'dicipta' dengan pelbagai teknik khusus termasuklah dimasak menggunakan pasu, buluh atau tempayan.

Mohd Aisamuddin Razak, 34, dari Kampung Tok Jiring,  tidak ketinggalan mencipta keunikan itu apabila memilih tin minyak alumunium sebagai 'dapur' untuk menyediakan menu ayam bakar di gerai miliknya di Taman Mahadir, Gong Badak di sini.

Bukan sekadar kelainan, kaedah itu sebaliknya terbukti menambah kelazatan ayam bakar dihasilkan terutama dari segi aroma, selain daging ayam tidak hangit, isi lebih lembut dan `jus' yang terdapat pada daging juga tidak hilang.

Tidak hairanlah 80 hingga 95 ekor ayam yang siap dibakar menggunakan kaedah tin minyak di Gerai Ayam Teng JJJ habis dijual pada setiap hari.

Mohd Aisamuddin berkata, dia tidak sangka jualan ayam bakar dalam tin yang diusahakan tetap mendapat sambutan walaupun harga agak tinggi pada Ramadan kali ini

"Jika dilihat harga ayam segar sekarang memang pembeli bimbang untuk membelinya kerana harga jualan ayam bakar dalam tin itu pasti naik seiring harga ayam segar.

"Apapun, Alhamdulillah apabila pelanggan tetap setia dan membeli seperti biasa walaupun harga jualan bagi ayam bakar dalam tin ini RM26 seekor.

"Saya beli ayam segar di pasar RM9.50 sekilogram, jadi agak mustahil untuk menjual ayam dalam tin pada harga RM22-RM24 seekor seperti dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, dia berniaga ayam bakar dalam tin sejak 2016 dan jualannya pernah mencecah 150 ekor sehari.

"Sekarang sekitar 93 ekor dijual sehari dan dianggarkan pada pertengahan Ramadan ini jumlah jualan mencecah sehingga 120 ekor sehari,” katanya

"80 peratus pembeli ialah pelanggan tetap sejak 2016, oleh itu saya tidak tergamak untuk tidak berniaga dan menghampakan permintaan pelanggan," katanya.

 


Tag: