Berita :
Aktiviti Riadah Bukan Alasan Tinggal Solat Jumaat, Pesalah Boleh Didenda RM3,000
Aktiviti Riadah Bukan Alasan Tinggal Solat Jumaat, Pesalah Boleh Didenda RM3,000
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
6 jam yang lepas
57

SETIU, 2 Mei– Umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan aktiviti riadah atau urusan perniagaan sebagai alasan untuk mengabaikan kewajipan solat Jumaat bagi mengelakkan tindakan undang-undang syariah.

Ahli Parlimen Setiu,  Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, program kesedaran di lokasi tumpuan awam adalah langkah proaktif bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap tuntutan agama di samping mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Jangan sesekali kita membiarkan urusan dunia atau aktiviti luar menghalang kita daripada menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan. Program hari ini bertujuan memberi teguran membina dan meningkatkan kesedaran semua pihak,” tegas beliau.

Beliau telah hadir menyertai Program Pencegahan Seksyen 16 (kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat) yang diadakan di kawasan rekreasi Lata Ulu Kasar, di sini, semalam. 

Turut serta dalam program tersebut ialah Pegawai Agama Daerah Setiu, Kamal  Mamat, bersama barisan pegawai daripada Pejabat Agama Daerah Setiu.

Dalam sesi taklimat yang dijalankan, pihak berkuasa agama memberikan penerangan mengenai implikasi perundangan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Menurut peruntukan tersebut, mana-mana individu lelaki Muslim yang gagal menunaikan solat Jumaat tanpa keuzuran yang sah boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 jika sabit kesalahan.

Kehadiran barisan pemimpin dan pihak berkuasa agama di lokasi perkelahan tersebut disambut baik oleh pengunjung, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam menjaga maslahah umat Islam di daerah Setiu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan