Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang yang juga merupakan anak kelahiran Dungun Terengganu menjadikan al-Quran sebagai pendampingnya termasuk ketika beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

"Perkara yang paling wajib sekali saya bawa setiap kali saya 'travel' adalah al-Quran kerana sebagai orang Islam adalah penting untuk kita membacanya sekurang-kurangnya dua muka setiap hari.

"Ini adalah buku yang paling berkuasa dan penting untuk kita semua baca," ujarnya menerusi satu perkongsian video di facebooknya, baru-baru ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu juga berkata, beliau turut menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat untuknya dan turut berkongsi di dalam video yang dimuatkan di laman sosialnya, antara buku lain yang dibaca ialah 'Seni Berfikir Yang Hilang' tulisan Ustaz Hasrizal Abu Jamil.

"Saya memang suka membaca buku tetapi kalau di rumah sukar sedikit nak membaca sebab anak-anak ramai dan perlu beri perhatian kepada mereka.

"Buku 'Seni Berfikir Yang Hilang' ini memang saya bawa kemana-mana sahaja saya pergi kerana maklumat dan perkongsiannya sangat 'brilliant' kadang-kadang saya baca balik untuk ingatkan saya semua mengenai kandungannya.

"Kedua, saya bawa buku kawan baik saya Sonny Bill Williams (lagenda ragbi New Zealand), saya rancang nak habiskan baca buku ini semasa kejohanan olimpik," ujarnya.