Azizulhasni, Siti Rahmah Dinobat Olahragawan Olahragawati AST 2018
Azizulhasni dan Siti Rahmah masing-masing raih wang tunai RM 7,000. |
KUALA NERUS, 18 Mac- Jaguh berbasikal trek dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan jaguh silat dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati negeri bagi tahun 2018 dalam Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam ini.
Kejayaan itu membolehkan kedua-dua atlet berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 7,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian.
Manakala, persatuan yang mereka wakili menerima wang tunai berjumlah RM 2,000 sebagai penghargaan.
Azizulhasni, 31, merangkul anugerah tersebut buat kali keenam apabila memenangi pingat emas dalam acara Sukan Asia Palembang 2018.
Beliau turut dipilih sebagai Olimpian Lelaki Terbaik 2018 oleh Majlis Olimpik Malaysia atas kecemerlangan beliau.
Siti Rahmah, 32, pula kembali merampas anugerah berkenaan daripada pemenang lima kali, Fatehah Mustapa, setelah mempertahankan pingat Emas kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 yang diadakan di Singapura Disember lalu.
Beliau memenanginya buat kali pertama pada tahun 2015/2016.
Pemilihan Siti Rahmah mengenepikan olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Azreen Nabila Alias serta Alia Sazana Azahari (atlet Menembak), Nurul Fatin Solehah Abdul Rahman (Pelayaran) dan Nur Alia Ghapar (Memanah).
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu serta ahli-ahli mesyuarat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Selain anugerah utama yang disampaikan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, penjaring terbaik Kejohanan Hoki Sukan Olimpik Remaja 2018 dan Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal) dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati harapan yang membawa pulang wang tunai RM 2,500, piala pusingan, piala iringan dan sijil.
Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik menjadi milik pasukan Bola Sepak Piala Presiden, apabila mereka mengakhiri kemarau 12 tahun dengan menjuarai Piala Presiden 2018.
Manakala, pasukan Pelayaran (International 420) dipilih sebagai Pasukan Wanita Terbaik setelah menyumbang pingat emas di temasya SUKMA Perak 2018 serta pingat Perak di Kejohanan Terbuka Kebangsaan.
Zuhairie Ahmad Tarmizi (Berbasikal) dan Nani Shaiera Zawawi (Olahraga) pula dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Paralimpik atas kejayaan mereka mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Zainal Abidin Hussin menerima Anugerah Kepimpinan Sukan atas kejayaan pasukan SUKMA menjadi juara berbasikal lapan edisi berturut-turut.
Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said turut dinobatkan sebagai Tokoh Sukan hasil usahanya menjadi tulang belakang pembangunan sukan negeri Terengganu.
Seramai 22 mantan ketua kontinjen SUKMA dari tahun 2010 sehingga 2018 turut dihargai kerajaan negeri melalui Anugerah Khas atas sumbangan mereka mengangkat atlet Terengganu di persada SUKMA.
Dato' Seri Ahmad Said turut terima anugerah Tokoh Sukan. |