• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

Bajet 2018 Akan Lebih Mesra Rakyat



Bajet 2018 yang akan dibentangkan 27 Oktober ini diyakini akan memberi manfaat kepada rakyat secara umum dan lebih mesra rakyat terutama kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, bajet berkenaan secara tidak langsung akan menumpukan kepada keperluan-keperluan sebenar bagi mengatasi masalah kos sara hidup, perumahan termasuk keperluan untuk menjana ekonomi rakyat.

Katanya, beliau yakin bajet kali ini amat ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan rakyat ekoran negara pada masa ini berhadapan dengan suasana ekonomi yang tidak menentu.

"Saya percaya YAB Perdana Menteri(PM) akan menumpukan kepada perkara-perkara ini kerana kita yakin dengan kebolehan kita ketika menghadapi keadaan ekonomi meleset tetapi masih bertahan malah untuk meneruskan agenda negara seperti Transformasi Nasional 2050(TN50)...kita perlu asas yang kukuh.

"Jadi dalam erti kata yang lain, kita berharap YAB PM boleh menumpukan kepada pembangunan meyakinkan rakyat(orang muda khususnya),masyarakat luar bandar sebagai tulang belakang yang menyokong Kerajaan selama ini untuk mengembangkan punca pendapatan dan membangunkan ekonomi mereka,"katanya ketika ditemui Teganukita, malam tadi.

Jelas Tengku Putera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, beliau melihat sumber di kawasan luar bandar berpotensi untuk digembleng bagi meningkatkan pendapatan bukan sahaja melalui insfrastruktur  tetapi juga produk-produk yang ada supaya lebih bernilai tinggi.

"Kita wujudkan bantuan atau sumber supaya penduduk luar bandar terutama belia dapat berniaga atau memproses produk mereka untuk lebih berdaya maju.

"Kita ada banyak agensi dan saya amat berharap setiap daerah atau Dewan Undangan Negeri(DUN) boleh diwujudkan Pusat Ekonomi Komuniti seperti UTC tapi diperbesarkan sedikit,"katanya.

Tambahnya lagi, Pusat Ekonomi Komuniti ini boleh dibangunkan sebagai pusat penempatan bandar baru, pusat pelancongan, pusat pengumpulan segala sumber ekonomi komuniti dan sebagainya.

Tag: