Bajet 2019 : DUN Terengganu Tolak ICERD
Oleh: Fidee Aziz
KUALA TERENGGANU, 25 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam mencapai kata sepakat untuk sebulat suara meluluskan usul menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Usul tergempar dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan mendapat sokongan ahli dewan tanpa dibahaskan.
Muhammad Khalil ketika membentangkan usul itu, berkata isu ICERD membabitkan pencabulan kontrak sosial yang sudah dipersetujui oleh semua kaum, selain kepentingan orang ramai apabila membabitkan isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau berkata, usaha meratifikasi ICERD juga menyentuh pelanggaran kedaulatan institusi istana membabitkan perkara berkaitan agama Islam dan hak istimewa Melayu.
Bagaimanapun, sebelum ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang menyatakan ICERD ini perlu ditandatangani kerana hak semua kaum menjadi sama rata dilihat berlawanan dengan Perlembagaan Negara yang diperuntukkan di bawah Akta 153.
Muhammad Khalil yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri juga menyokong penuh tindakan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyatakan Malaysia tidak sama sekali akan meratifikasikan konvensyen ini.
“Saya melihat bahawa ia adalah hasil daripada protes yang ditunjukkan oleh umat Islam atau Melayu Bumiputera terhadap usaha untuk mentandatangani dan mengesahkan ICERD dan hasil daripada desakan itu kita melihat (kewajaran) keputusan yang dibuat oleh mesyuarat kabinet baru-baru ini.
“Kita perlu menolak sebarang usaha Putrajaya untuk menandatangani ICERD dan mengutuk segala usaha yang dilakukan bagi meratifikasikan ICERD. Ia adalah langkah ke belakang, membahayakan masa depan negara dan boleh mencetuskan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya pada sidang DUN di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Muhammad Khalil berkata, implikasi isu ICERD ini tidak dikaji dengan sebaik-baiknya dengan mengambil jalan untuk menanganinya seumpama melepaskan batuk di tangga.
Beliau berkata, Malaysia tiada keperluan untuk menandatangani konvensyen ICERD kerana negara sudah menunjukkan kepada dunia keunikan formula Malaysia, iaitu kontrak sosial yang dimeterai ketika kemerdekaan negara pada 1957.
Katanya, Malaysia tidak pernah mengamalkan dasar menindas agama dan bangsa lain, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan.
“Rusuhan kaum pada 1969 ditangani dengan baik, tanpa menzalimi bangsa atau agama tertentu.
Akhirnya, Malaysia dikenali di persada dunia sebagai negara yang unik kerana rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat majmuk berjaya hidup berganding bahu, harmoni, saling hormat menghormati dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing menggunakan medium keganasan terhadap kaum yang lain.
“Sepatutnya belajar dengan kita mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia dan menguruskan kepelbagaian bangsa dan agama. Malangnya dengan menandatangani ICERD, kita pula meminta PBB mengajar kita. Negara seperti Israel dan Myanmar sepatutnya digesa untuk menandatangani ICERD, bukan Malaysia.
“Mengenai hak istimewa orang Melayu dan kuota khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang tertentu, ia bukanlah bertujuan menindas kaum lain, tetapi bagi menjadikan Melayu dan Bumiputera dapat berkongsi kek kekayaan ekonomi negara dengan adil, ” katanya.
Beliau berkata, langkah menerima deklarasi ICERD menunjukkan tindakan terdesak Putrajaya tunduk kepada desakan melampau daripada ahli politik yang mewakili kaum tertentu dalam parti pemerintah, sehingga sanggup menceroboh kontrak sosial dan merosakkan kepercayaan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Muhammad Khalil berkata, beliau mengambil maklum pendirian Pejabat Perdana Menteri untuk tidak meratifikasi ICERD dan mengambil maklum, kenyataan susulan daripada menteri yang masih kabur dan membimbangkan.
“Dengan ini, saya mengusulkan dewan yang mulia ini menerima usul ini untuk dirundingkan, sekali gus menolak sebarang usaha Putrajaya untuk menandatangani ICERD walaupun dengan membuat ratifikasi.
“Saya percaya bahawa sejak daripada awal lagi isu ini apabila ia ditimbulkan sekali gus menunjukkan Kerajaan PH adalah kerajaan tidak cermat dan mengkaji terlebih dahulu, implikasi terhadap negara yang kita lihat mempunyai asas-asas di dalam pelembagaan berkait dengan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, ” katanya.