DUNGUN, 28 Januari - Daerah ini akan menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong menjelang tahun 2025 apabila bangunan perniagaan bercirikan senibina Islam kontemporari moden serta unik akan menjadi mercu tanda terbaharu di Dungun.
Projek berkenaan akan mula dibangunkan bulan depan di Pusat Bandar Dungun berhampiran Pantai Peranginan Teluk Lipat secara usahasama antara Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Syarikat Artha Global Sdn Bhd menelan dengan kos lebih RM20 juta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bangunan yang direka oleh arkitek terkenal negara, Ar Hud Abu Bakar yang sebelum ini telah menyumbang kepakaran dalam membina 'Menara Merdeka 118' diyakini mampu memberi impak besar terhadap bandar Dungun serta menjadi nilai tambah bagi memajukan pembangunan di kawasan sekitar dengan lebih terancang dan teratur.
"Melalui penerapan seni bina Islam Kontemporari, serta moden dan unik dengan adanya Jabatan Penghubung yang akan dibina ditingkat atas (tingkat empat) di antara kedua-dua bangunan menghadap pemandangan laut sudah tentu selayaknya menjadi mercu tanda baharu di bandar ini.
"Saya berharap projek yang direncanakan ini akan memberi impak yang besar terhadap Bandar Dungun, saya yakin momentum ini mampu diteruskan menerusi jalinan kerjasama MPD dengan pihak Artha Global Sdn Bhd dalam menyakinkan pelabur baharu dan juga pelabur sedia ada untuk memilih Dungun sebagai destinasi pelaburan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara MPD dengan Syarikat Artha Global SDN BHD di atas Lot PT 22647 & PT 18106, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan mana-mana pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan, termasuklah di tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagaimana hari ini dalam usaha merancakkan pembangunan di Terengganu.
"Saya yakin dengan kapasiti pembangunan sebanyak 72 unit ruang niaga ini, ia mampu memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk memiliki hartanah tersebut memandangkan penjualannya adalah secara per unit (hakmilik strata) dan seterusnya mampu melibatkan para peniaga dengan berbagai aktiviti peningkatan ekonomi kepada mereka, warga Dungun, serta Majlis Daerah sendiri,"katanya.
Untuk rekod selain mempunyai Jambatan Pautan yang menhadap pemandangan Laut China Selatan, ia juga akan dilengkapi skrin seni bina bermotif Islam, pinggiran hijau serta 'Angular Carpark' berhadapan dengan kedai yang selesa.
Juga akan menjanjikan pengalaman mewah memberi belah di lot komersil di tepi pantai serta menikmati pemandangan yang indah kerana kompleks bangunan berkenaan akan dilengkapi dengan beranda instragrammable atau mesra foto pada jambatan penghubung yang menghadap ke laut.