• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Bantahan Keras Tulisan Jawi, Dong Zong Gugat Perpaduan



Oleh : Sulaiman Hafizi

DUNGUN,1 Januari - Bantahan keras sesetengah kelompok terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular menggambarkan usaha yang berterusan untuk menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Bantahan yang dikelola pihak Dong Zong dan Jiao Zong melalui kongres itu seharusnya dipandang secara serius kerana ia memberi petanda bukan sahaja mereka mengikis nilai kebangsaan dengan penulisan Jawi bahkan mendorong jurang perpaduan yang semakin melebar dalam kepelbagaian kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Dungun,Wan Hassan Mohd Ramli berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bantahan ini dikemukakan sebagai “counter argument” terhadap cadangan pemansuhan sekolah vernakular yang dibangkitkan ramai pihak sebelum ini.

“Tulisan jawi telah digunakan secara meluas di beberapa negeri khususnya di papan-papan iklan dan kedai di Kelantan, namun ia tidak pula menjadikan kelompok Cina Kelantan sebagai orang Melayu, malah identiti mereka sebagai masyarakat Cina masih terpelihara.

“Justeru sudah pasti bantahan terhadap tiga muka surat pembelajaran Jawi ini menimbulkan persoalan utama; apakah mereka sememangnya anti-Jawi atau sebenarnya mereka sedang berusaha mengikis nilai kebangsaan yang menjadi warisan negara ke arah Malaysia yang baharu?,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Katanya, isu pembelajaran Jawi mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman serta campur tangan parti politik berteraskan kaum Cina seperti MCA atau dengan keahlian majoriti dari kaum berkenaan seperti Gerakan.

“Maka, tidak pelik jika banyak lagi cabang-cabang lain selain masalah pembelajaran tulisan Jawi yang akan dipertikai pada masa akan datang kelak. Oleh hal yang demikian, perkara ini wajar diambil perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab supaya perpaduan negara tidak terus dicarik oleh sikap melampau sesetengah pihak.”ujarnya lagi.

Tag: