Ahmad Razif menyarungkan beg sekolah kepada pelajar sekolah. Foto Harish Fadzillah Kassim |
Kerajaan negeri akan memastikan kesemua pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan sebelum sesi persekolahan baharu bermula Isnin ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dengan pelbagai skim bantuan yang diperkenalkan kerajaan menerusi agensi berkaitan serta ditambah sumbangan pihak swasta adalah tidak mungkin ada pelajar yang layak tetapi tercicir daripada senarai penerima.
"Oleh itu pengurusan sekolah juga diminta untuk memberi kerjasama dengan mengenal pasti jika ada pelajar yang layak tetapi tidak mendapat bantuan.
"Sekiranya ada kita di pihak kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khusus untuk membantu pelajar sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan ini mendapat bantuan sewajarnya.
"Ini kerana dengan pelbagai bantuan yang disumbangkan ramai pihak ketika ini untuk membantu meringankan beban ibu bapa untuk membeli keperluan sekolah anak-anak adalah tidak seharusnya ada penerima yang layak tidak mendapat bantuan ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Happy 2 School anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KPIM) serta Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO Malaysia di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KPIM) yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, Parlimen Kuala Nerus adalah parlimen ke-50 daripada 75 parlimen di seluruh negara yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan.
Katanya, seramai 1,000 murid Tahun Satu hingga Enam daripada keluarga yang kurang berkemampuam terpilih menerima sumbangan berkenaan dalam meringankan beban ibu bapa.