Berita :
Razali Pelawa Teresa ‘Maghi Tranung’ Nilai Sendiri Pelancongan Mesra Muslim
Razali Pelawa Teresa ‘Maghi Tranung’ Nilai Sendiri Pelancongan Mesra Muslim
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
79

KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mempelawa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok datang sendiri ke Terengganu bagi menilai realiti sebenar pelancongan mesra Muslim di negeri itu.

Razali berkata, kenyataan Teresa yang cuba menggambarkan pelancongan hanya mampu berkembang melalui hiburan bebas dan festival jalanan disifatkan sebagai sempit serta tidak memahami perubahan landskap pelancongan semasa.

Menurutnya, pelancongan global hari ini bergerak dalam pelbagai segmen termasuk eko-pelancongan, pelancongan budaya, komuniti, sukan, pulau serta Muslim-friendly tourism yang semakin mendapat tempat.

“Jangan sempitkan naratif seolah-olah pelancong hanya datang kerana hiburan bebas. Terengganu membuktikan pendekatan patuh syariah bukan penghalang, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, rekod kehadiran pelancong ke Terengganu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan yang konsisten.

Katanya, selepas fasa pemulihan pasca pandemik pada 2021 dan 2022, sektor pelancongan Terengganu mencatat lonjakan ketara, sebelum terus berkembang pada 2023 seiring pemulihan pelancongan nasional.

Tambah beliau, pada 2024, Terengganu merekodkan 7.8 juta pelawat, sekali gus melepasi sasaran awal. 

“Bagi 2025 pula, sasaran ditetapkan sebanyak 8.5 juta pelawat, dengan 6.9 juta direkodkan hanya dalam separuh tahun pertama.

“Bagi tiga bulan pertama 2026 sahaja, Terengganu sudah menerima kira-kira 2.45 juta pelawat. Ini bukan angka negeri yang lesu pelancongan. Ini bukti trend menaik,” katanya.

Razali berkata, sekiranya benar pendekatan mesra Muslim menakutkan pelancong seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu, angka pelawat ke Terengganu sepatutnya merosot.

“Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Pelancong tetap datang kerana mereka mencari pengalaman, alam semula jadi, budaya, makanan, komuniti dan keunikan negeri ini,” katanya.

Beliau turut memberi contoh penganjuran Kapas Marang Swimathon, yang berjaya menarik penyertaan antarabangsa meskipun dilaksanakan dengan garis panduan pakaian sopan.

Katanya, kejayaan acara itu membuktikan pelancongan tidak semestinya bergantung kepada hiburan liar, sebaliknya boleh berkembang melalui nilai cabaran, alam semula jadi dan pengalaman berkualiti.

“Peserta luar negara datang bukan kerana mahu hiburan bebas, tetapi kerana cabaran, laut, komuniti dan suasana Terengganu yang unik,” katanya.

Razali berkata, kekuatan Terengganu terletak pada kepelbagaian produk pelancongan termasuk Tasik Kenyir, pulau bertaraf dunia seperti Redang, Perhentian, Lang Tengah, Kapas dan Tenggol, selain budaya tempatan seperti Karnival Candat Sotong, makanan tradisi serta pengalaman desa.

Menurutnya, semua produk itu dibangunkan dalam kerangka mesra Muslim tanpa menutup ruang kepada pelancong bukan Islam.

“Mesra Muslim bukan bermaksud menolak bukan Islam. Patuh syariah bukan bermaksud anti pelancong. Tanpa hiburan bebas pun pelancongan boleh berkembang pesat,” katanya.

Beliau turut menolak perbandingan dengan Langkawi yang menurutnya tidak tepat kerana pulau itu berdepan cabaran berbeza seperti kos, akses dan persaingan serantau.

“Jangan semua benda mahu disandarkan kepada dasar moral. Pelancongan ada banyak faktor. Kalau gagal faham segmen pelancongan, akhirnya semua isu dilihat dari lensa yang sempit,” katanya.

Razali berkata, masalah sebenar bukan kekurangan festival, tetapi kegagalan sesetengah pihak memahami bahawa pelancongan hari ini bergerak dalam pelbagai segmen dan tidak hanya bergantung kepada satu bentuk hiburan.

Dalam nada sinis, beliau berkata Teresa wajar hadir sendiri ke Terengganu sebelum membuat kesimpulan mengenai pendekatan pelancongan negeri itu.

“Please, Mak Cik Teresa Kok, maghi Tranung bercuti tiga hari dua malam. Insya-Allah, mungkin akan minat dengan kemurnian Islam dan keindahan negeri ini,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan