'Selalunya Saya Pakai Baju Raya Lama, Kini Dapat Baju Baru' - Anak Yatim
KEMAMAN, 16 Mac - Bantuan bagi membaiki tujuh rumah mangsa kebakaran di Rumah Taman Alam Perdana, Binjai di sini akan disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, terdahulu sumbangan awal bencana kebakaran buat keluarga mangsa telah disampaikan dalam ziarah baru-baru ini.
"Penilaian kerosakan rumah-rumah yang terlibat sedang diproses oleh Pejabat Daerah Kemaman dan permohonan baiki rumah melalui Tabung Darul Iman akan dihantar selesai sahaja nilaian tersebut," katanya ketika ditemui media semasa aktiviti gotong-royong membersihkan rumah terbakar terbabit kelmarin.
Menurutnya, Program Gorong-Royong Bersih Tapak Kebakaran merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Air Putih melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat yang turut hadir.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong hari ini antaranya pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang menyediakan peralatan dan membantu dalam urusan kerja-kerja pembersihan.
“Terima kasih juga buat JPKK, Lujnah Kebajikan PAS DUN Air Putih, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan penduduk setempat yang hadir membantu," tambah beliau lagi.
Mohd Hafiz berkata, sehingga kini punca kebakaran rumah itu belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih berjalan.
Katanya, kejadian yang berlaku pada 8 Mac itu telah mengakibatkan sebanyak tujuh buah rumah telah terbakar.