KUALA TERENGGANU, 26 Oktober –Kerajaan Terengganu akan menyediakan bas percuma bagi membolehkan pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripadap kempen ‘Maghi Balik Ngundi’.
“Objektif utama adalah untuk menerapkan kesedaran tanggungjawab kalangan rakyat khususnya belia dan mahasiswa.
"Selain itu kita juga mahu meringankan beban rakyat Terengganu di perantauan untuk pulang sempena dengan PRU-15 ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pelancaran kempen Jom Balik Mengundi & Jom Keluar Mengundi Tanggungjawab bersama ‘Rakan2022’ di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razab dan wakil Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Sabri Mamat.
Menurut Wan Sukairi, kempen 'Maghi Balik Ngundi' itu akan dijalankan di setiap DUN dan parlimen.
"Mereka akan mengadakan promosi berkenaan dengan kempen ini termasuk NGO perantau dalam menguruskan proses pulang dari seluruh negara.
“Kemudian, sekretariat ini akan menyediakan pengangkutan bas yang secukupnya dengan kerjasama penuh semua agensi kerajaan.
"Sekiranya bas-bas yang dimiliki pihak kerajaan tidak mencukupi, maka sekretariat akan menyewa bas daripada luar, insya-Allah,” katanya.
Wan Sukairi turut menjelaskan, segala proses permohonan pulang menaiki bas sewa khas tersebut adalah terbuka buat semua golongan perantau.
"Pengangkutan dari semua lokasi luar negeri termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Segala prosedur dan permohonan akan dputuskan dalam tempoh segera sebelum memulakan kempen tersebut melalui laman rasmi mereka," katanya.