Shaharizukirnain Abd Kadir. |
SETIU, 26 Januari - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir akan membangkitkan isu peluang pekerjaan dan perkhidmatan jalur lebar untuk rakyat Terengganu khususnya di Setiu di sidang Parlimen yang akan bermula pada 11 Mac nanti.
Beliau berkata, jalur lebar bagi daerah Setiu perlu diwujudkan selaras dengan perkembangan teknologi sekarang.
Tambahnya, ini termasuklah peluang pekerjaan untuk membangunkan kawasan luar bandar seperti di Setiu bagi menjamin ekonomi dan kebajikan penduduk.
"Insya-Allah, ada perkara yang saya akan bawa ke Parlimen khususnya yang berkait dengan internet khasnya di Setiu kepada kementerian berkaitan.
"Dan kita memang berusaha untuk wujudkan peluang pekerjaan dan ianya antara perkara dalam perancangan kita," ujarnya pada penggulungan sesi dialog di Dewan Orang Ramai Gong Terap, Langkap, baru-baru ini.
Terdahulu, Shaharizukirnain dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof telah mengadakan Pejabat Bergerak bagi DUN berkenaan selepas solat Jumaat.
Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk ziarah kebajikan, ziarah santai, santai warung kopi dan kaunter aduan rakyat turut dibuka dengan dibantu oleh petugas Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS).
"Untuk program ziarah, kita telah ambil maklumat, catatan untuk diserah kepada agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman (TDI) dan agensi lain yang berkaitan.
"Kita buka bantuan isi borang secara manual dan atas talian agar dapat beri manfaat dan kemudahan pada semua untuk menyalurkan apa jua masalah," ujarnya lagi.
Menurutnya, usaha Pejabat Bergerak yang dilakukan adalah bagi memudahkan mereka yang uzur dan seumpamanya yang menghadapi kesukaran untuk berurusan di pejabat sedia ada di samping dapat mengeratkan hubungan secara terus kepada rakyat.