Bayar RM1,000 Dapat Tanah dan Rumah RM200,000

SETIU, 25 Mac – Memiliki rumah sendiri biasanya memerlukan perbelanjaan besar, tetapi bagi peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA), mereka hanya perlu membayar RM1,000 untuk mendapatkan rumah dan tanah bernilai RM200,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memberikan keistimewaan khas ini kepada golongan e-Kasih, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Setiap peserta menerima lot tanah seluas 300 meter persegi beserta rumah dengan bayaran premium hanya RM1,000. 

"Premium tanah ini biasa dikira 10 peratus daripada nilai tanah, tapi oleh kerana tuan puan ada dalam senarai e-kasih, Kerajaan Terengganu beri keistimewaan. 

"Bayar nominal ni bayar ambil syarat, tanpa mengira berapa nilai sebenar tanah dan rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.

Tambah Azman, selain menyediakan kediaman yang selesa, Projek Agropolitan Besut-Setiu juga memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui penternakan kambing dan pertanian.

"Peserta projek menjalankan aktiviti penternakan kambing sebagai sumber pendapatan utama, dengan sokongan kemudahan kandang ternakan serta infrastruktur yang lengkap.

"Selain menyediakan tempat tinggal, projek ini turut memberi kestabilan hidup kepada peserta dengan peluang ekonomi yang mampan. 

"Secara keseluruhannya, Projek BSA yang dilaksanakan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan satu usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Melalui pembangunan sektor pertanian dan penternakan, para peserta kini menikmati kehidupan yang lebih selesa dan menyambut Hari Raya dalam rumah milik sendiri buat kali pertama," ujarnya.