HULU TERENGGANU, 25 September - Bekalan ikan di negeri ini mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh melalui unjuran tangkapan ikan yang sentiasa meningkat setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, melalui data yang diperolehi daripada hasil tangkapan ikan pada tahun ini berbanding pada tahun sebelumnya dilihat sentiasa meningkat dan tidak perlu dibimbangkan.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, 17,000 tan metrik hasil tangkapan didaratkan berbanding tempoh sama tahun lalu, pendaratan ikan direkodkan ialah 16,000 tan metrik.
“Musim tengkujuh juga merupakan musim di mana ikan-ikan melimpah dan amat menguntungkan bagi nelayan ketika itu.
“Kebiasaannya pada musim itu keadaan laut mula bergelora namun nelayan tempatan masih keluar ke laut namun ianya bergantung kepada keadaan cuaca," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Input Pertanian Tahun 2022 di Kompleks Pertanian Ajil baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Sementara itu, musim tengkujuh dilihat memudahkan bagi nelayan untuk menangkap ikan kerana ikan yang biasanya berada di laut dalam akan berada ke pesisir untuk bertelur.
Tambah Dr Azman, pada musim biasa, nelayan perlu mengharungi perjalanan sehingga 10 jam untuk menangkap ikan namun pada musim tengkujuh, mereka hanya perlu bergerak dua hingga tiga jam ke destinasi untuk menangkap ikan.
“Kita rasa insya-Allah bekalan ikan akan mencukupi bagi musim tengkujuh ini dan langkah sewajarnya sudah diambil oleh kerajaan bagi menjamin stok ikan supaya terus berada di pasaran,” ujarnya.