Samiun meneliti bahagian kerosakan Masjid Kristal pada kertas kerja sebelum mengadakan sidang media khas petang semalam. Foto Harish Fadzillah Kassim |
Kerja-kerja pembaik pulih dijangka mengambil tempoh lapan hingga 10 minggu itu dijadualkan akan selesai menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengemukakan anggaran kos sebanyak RM584,485 yang melibatkan kerja-kerja lapisan kalis air pada keseluruhan bumbung rata, pembaikian siling dan saluran air.
Tambahnya, permohonan itu diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) pada 26 September lalu.
“Sebelum ini iaitu pada Ogos lalu Taman Tamadun Islam (TTI) diberi peruntukan RM305,000 bagi menggantikan 28 keping cermin kristal yang dikesan pecah sejak akhir tahun lalu.
"Kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan membaiki kecacatan besar seperti pemasangan semula sistem pandawaian elektrik, sistem bunyi, dan penyelenggaraan sistem penghawa dingin dan semua kerja-kerja itu telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas, di perkarangan masjid itu, petang semalam.
Samiun berkata, pihaknya berterima kasih atas kepekaan Sinar Harian melaporkan isu kerosakan Masjid Kristal, yang dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia.
"Sebenarnya, kerja-kerja semakan awal bagi pembaikian kerosakan masjid telah dimulakan minggu lalu sebelum isu ini keluarkan.
"Kita telah memeriksa di tapak bina dan penyediaan pelan. Secara keseluruhan, kerja-kerja menggantikan cermin baharu ini dijangka akan siap pada akhir tahun ini," katanya.
Walaupun ikon utama pelancongan negeri ini mengalami kerosakan, Samiun berkata, ia tidak menjejaskan kunjungan pelancong ke situ.
“Saban tahun kita masih mnerima purata kunjungan seramai 500,000 hingga 600,000 pengunjung.
"Jadi isu kerosakan dan kebocoran ini tidak memberi kesan pada sektor pelancongan di sini walaupun kita ada menerima beberapa rungutan dan aduan sejak tahun lalu," katanya.