KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Belia Terengganu menjadi salah satu segmen penting bagi kerajaan dalam pengukuhan pembangunan insan yang lebih holistik dan berdaya saing selaras Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030).
Dai Nusantara Musim Ke-5, Ilhami Nadhrah Hamzah menyokong usaha kerajaan negeri menitikberatkan pembangunan belia negeri dengan pelancaran modul Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM).
“Jika diperhatikan anak muda kini kurang berminat dengan program-program yang baik, jadi pelaksanaan KIAM diharap membawa belia dekat dengan majlis ilmu.
“Mudah-mudahan kita kita sebagai belia menjadi contoh yang baik kepada keluarga serta kawan-kawan sekeliling kita.
“Suri teladan dengan beramal dengan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar,” katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai Ikon KIAM dalam Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Al-Fateh dan KIAM.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tamadun Islam, di sini baru-baru ini.
Beliau yang berasal dari Marang berharap agar pelantikannya sebagai Ikon KIAM bakal menjadi motivasi buatnya dalam menyebarkan dakwah.
Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan modul KIAM bagi belia dan beliawanis yang berumur 18 hingga 25 tahun dalam usaha menerapkan keseimbangan dan kematangan anak muda seiring pelaksanaan Undi 18.