DUNGUN, 23 oktober - Masyarakat di negeri ini dinasihatkan agar tidak merosakkan perpaduan hanya kerana berbeza pandangan, ideologi, dan fahaman politik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebaliknya orang ramai di negeri ini yang majoritinya adalah muslim sewajarnya mencari ruang untuk membina kekuatan agar tidak didominasi oleh musuh Islam.
"Mereka sedang memiliki kekuatan, dan mengambil kesempatan atas sikap orang Islam tidak bersatu dan berbalah terhadap perkara remeh temeh, bahkan mereka menunjukkan tanda untuk menguasai politik bagi mentadbir negara ini dan mereka pernah berjaya menguasainya.
"Sudah sampai masanya untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri kerana wujudnya perbezaan pandangan sehingga berlakunya salah faham, bersamalah kembali membina kekuatan dalam kehidupan bermasyarakat berlandaskan apa yang diajarkan didalam Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Komuniti Sejahtera Darul Iman Di Hatiku (K.O.S.D.I) @Dungun, dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) peringakat daerah ini, di Padang Bola Felda Jerangau , di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas mengenai program berkenaan Mohd Nor berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan program yang diadakan bersempena Pelancaran Bulan Dakwah itu dalam menyemarakkan usaha dakwah di negeri ini dan mendidik rakyat agar mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya.
"Kerja mengajak dan menyeru masyarakat kembali sedar mengamalkan ajaran Islam untuk membentuk keperibadian mukmin yang baik, ini adalah kerja setiap orang, bukan sahaja pendakwah dan pihak tertentu, bahkan kerja ini juga perlu digerakkan dalam keluarga.
"Untuk menyampaikan peringatan kepada setiap orang mengenai peri pentingnya kewajipan menutup aurat dengan sempurna, menghadirkan diri ke masjid bagi mengikuti pengajian agama Islam sekali gus memakmurkan rumah Allah.
"Alhamdulillah, kini masjid sudah terbuka luas, pengajian kuliah telah dibenarkan apatah lagi pada Isnin ini negeri ini telah memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka lagi banyak program-program dakwah yang boleh diadakan, dalam usaha kerajaan untuk mendidik seluruh masyarakat agar bertakwa kepada Allah SWT," ujarnya.
Sementara itu Nasrul berkata, pihak YADIM melalui program berkenaan yang diadakan kali pertama membabitkan masyarakat di felda Jerangau selama dua hari menetapkan tiga matlamat utama.
"Iaitu bagi menyantuni komuniti tanpa mengira latar belakang mereka, supaya sentiasa hidup dalam perpaduan dan keharmonian.
"Mengukuhkan hubungan strategik dengan NGO Islam melalui pendekatan 'dakwah bil hal' serta menambah bilangan pasukan sukarelawan YADIM yang melibatkan komuniti setempat menandakan bahawa di sini sudah memiliki sukarelawan seramai 30 orang," katanya.