KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kumpulan Orang Asli (OA) yang berada di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau, Dungun bukan komuniti yang menetap secara tetap di kawasan tersebut, sebaliknya berpindah sementara dari kampung asal mereka di Sungai Pergam, Kemaman bagi tujuan pekerjaan.
Bekas Pensyarah Antropologi Sosial (Etnografi Orang Asli) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Ramle Abdullah berkata, kehadiran komuniti berkenaan di kawasan itu adalah susulan tawaran pekerjaan di sebuah kebun durian Musang King, melibatkan perpindahan bersama ahli keluarga.
Menurut beliau, masyarakat OA terbabit sebenarnya mempunyai penempatan asal yang sah dan diiktiraf di Sungai Pergam yang telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Orang Asli (TROA) lengkap dengan hak milik kekal serta geran tanah.
“Mereka ada rumah di Sungai Pergam, ada ladang sawit dan getah yang diusahakan di atas tanah milik sendiri dengan keluasan 836 hektar. Tanah itu diberikan oleh kerajaan negeri ketika zaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
“Mereka juga mempunyai pendapatan tetap hasil ladang tersebut,” katanya yang kini berkhidmat di Pusat Pengajian Siswazah Kolej Universiti Bestari (UCB) sebagaimana dilapor Sinar Harian.
Ramle yang telah menjalankan kajian dan bersama komuniti OA sejak 1986 menjelaskan bahawa di Terengganu, hanya tiga kampung OA rasmi iaitu di Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman telah diiktiraf serta digazetkan, sebagaimana disahkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Jelas beliau, kedudukan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa wujudnya penempatan baharu OA di Durian Mentangau.
Sehubungan itu, beliau berkata isu penolakan atau keengganan untuk berpindah selepas kerajaan negeri meminta komuniti berkenaan berbuat demikian tidak sepatutnya berlaku, memandangkan mereka perlu kembali ke kampung asal di Sungai Pergam.
“Pada saya, isu ini dapat diselesaikan sekiranya pihak syarikat yang mengambil mereka bekerja di Durian Mentangau dapat menyediakan kemudahan seperti pengangkutan atau tempat tinggal yang sesuai supaya mereka tidak berdepan masalah untuk berulang alik ke tempat kerja.
“Yang sepatutnya datang bekerja hanyalah ketua keluarga, manakala ahli keluarga lain sepatutnya kekal tinggal di kampung asal mereka,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keadaan tersebut dibiarkan berlarutan, ia berpotensi mencetuskan tuntutan terhadap kawasan berkenaan sebagai penempatan baharu, walaupun komuniti terbabit sudah memiliki kampung rasmi.
“Pada peringkat awal mereka sudah ada kampung. Kita tidak mahu isu ini menjadi masalah lebih besar pada masa akan datang apabila mereka isytihar kawasan itu sebagai penempatan mereka.
“Pada pandangan saya, rumah yang telah dibina itu perlu juga dipindahkan ke kampung asal di Sungai Pergam sekali gus dapat menyelamatkan ia daripada dirobohkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramle menjelaskan bahawa kebanyakan OA yang berada di Durian Mentangau berasal daripada suku Jakun dari Pahang, berdasarkan latar sejarah komuniti tersebut.
“Sejarah bermula apabila seorang Tok Batin di Sungai Pergam berkahwin dengan wanita suku Jakun dari Pahang.
“Apabila beliau pulang, anak-anak mereka dibawa bersama dan komuniti Jakun itu akhirnya menetap di Sungai Pergam sebelum sebahagiannya berpindah sementara ke Durian Mentangau untuk bekerja,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli di kawasan berkenaan berdepan tindakan pengosongan selepas menerima notis daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai 2025 bagi mengosongkan tanah kerajaan negeri.
Media turut melaporkan, terdapat individu daripada parti politik tertentu yang membawa kumpulan OA berkenaan menetap di Durian Mentangau di tanah kerajaan negeri tersebut.