Berita :
OKU Tetap Mukalaf, Cabaran Didikan Agama Kepada Golongan Istimewa
OKU Tetap Mukalaf, Cabaran Didikan Agama Kepada Golongan Istimewa
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai kekurangan seperti bisu, pekak atau buta tetap dikira sebagai mukalaf dan masih tertakluk kepada kewajipan melaksanakan tuntutan agama seperti solat, puasa dan zakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, keadaan tersebut menuntut usaha lebih serius bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima pendidikan agama yang sewajarnya.

Menurut beliau, tanggungjawab membimbing golongan OKU dalam aspek keagamaan bukan sahaja terletak pada keluarga dan masyarakat, malah kerajaan juga perlu memainkan peranan bagi memastikan tuntutan syarak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Walaupun dia bisu, dia tak mendengar dan dia buta, tak melihat, tetapi dari segi tanggungjawab syarak dia masih lagi mukalaf. 

"Dia masih lagi wajib sembahyang, wajib berpuasa dan menunaikan tanggungjawab-tanggungjawab lain termasuk zakat dan berpuasa.

"Kecuali kalau tidak mukalaf. Orang tidak mukalaf ini dia buta dan juga pekak serentak. Maknanya tak ada cara nak nak nak ajar dia," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Sehubungan itu jelasnya, usaha memperkasa pendidikan agama kepada golongan OKU kini giat dilaksanakan termasuk melatih tenaga pengajar khusus yang mampu menyampaikan pengajaran al-Quran menggunakan bahasa isyarat serta kaedah yang sesuai.

"Setakat ini, alhamdulillah kita sudah cuba usaha dengan melatih tenaga untuk mengajar al-Quran menggunakan bahasa isyarat kepada golongan pekak dan bisu. 

"Bagi braille pula tidak menjadi masalah kerana mereka masih boleh menyebut bacaan al-Quran," jelasnya lagi.

Menurut Maliaman, hasil perbincangan bersama komuniti OKU mendapati mereka sebenarnya amat mengharapkan bantuan dalam aspek pendidikan agama, selain sokongan ekonomi yang sering diberikan.

"Mereka sebenarnya mengharapkan kita membantu mereka dari sudut pendidikan agama. Selama ini orang fikir dari segi ekonomi sahaja, kos kehidupan mereka sahaja, tetapi dari segi tanggungjawab agama kadang-kadang tertinggal," ujarnya.

Tegasnya, sekiranya perkara itu diabaikan, golongan berkenaan berisiko tercicir daripada melaksanakan tuntutan syarak, justeru kerajaan perlu memastikan usaha pendidikan agama kepada komuniti OKU terus diperkasakan.

"Bila tertinggal dari segi tanggungjawab agama, maka siapa yang bertanggungjawab? Kerajaanlah sepatutnya," katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan