Berita :
JPKK Jabi Sentiasa Tersenyum Melayan Ragam Penduduk
JPKK Jabi Sentiasa Tersenyum Melayan Ragam Penduduk
Hidayah Azlin
17 jam yang lepas
152

SETIU, 7 Jun – Menjadi pemimpin akar umbi menuntut kesabaran yang tinggi, terutama apabila berhadapan dengan pelbagai ragam unik masyarakat kampung yang mahukan perkhidmatan sepantas kilat.

Di DUN Jabi, gelaran 'Tok Ngulu' bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukan sekadar jawatan atas kertas, sebaliknya merupakan lambang keakraban tanpa sempadan antara pemimpin dan rakyat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkongsi, keunikan JPKK di kawasannya terletak pada latar belakang mereka yang terdiri daripada golongan marhaen seperti pesawah, penoreh getah, mekanik, tukang rumah, pekebun, , peneroka, ejen insurans, pemandu teksi dan pesara.

"Semua kerja ini menjadikan mereka sangat dekat dengan rakyat. Kalau perhatikan, tidak ada Pengerusi JPKK DUN Jabi yang bekerja sebagai kontraktor," ujar beliau menerusi satu hantaran di media sosialnya. 

Dek kerana hubungan yang terlalu rapat, Dr Azman mendedahkan ada penduduk yang menggunakan kaedah 'pandu lalu' (drive-thru) di hadapan rumah pengerusi JPKK semata-mata untuk mendapatkan pengesahan dokumen.

"Ada yang datang berhenti di depan rumah Tok Ngulu, tekan hon dan tunggu dalam kereta sahaja. Tok Ngulu akan turun untuk cop dan tanda tangan.

"Ada juga yang singgah awal pagi sewaktu mahu menghantar anak ke sekolah dan minta borang dicop masa itu juga. Tok Ngulu kita senyum sahaja, walaupun rakyat terlupa yang Tok Ngulu pun sebenarnya mahu menghantar anak ke sekolah pada waktu yang sama," katanya.

Lebih mencuit hati, Dr Azman berkata ada ketikanya 'Tok Ngulu' dipanggil ke kedai kopi bukan sahaja untuk menandatangani borang sekolah anak mukim, malah diminta untuk membelanja minuman.

Bagaimanapun, Dr Azman menyifatkan segala kerenah dan ragam manja penduduk Jabi itu sebagai satu manifestasi kepercayaan mutlak yang tidak mampu dijual beli.

Walaupun sistem pentadbiran hari ini menyediakan pelbagai saluran alternatif dan kategori pegawai lain untuk urusan pengesahan dokumen, institusi JPKK tetap berdiri teguh sebagai pilihan keramat di hati rakyat Jabi. 

"Sebab itulah walaupun ada pelbagai kategori jawatan lain yang boleh cop borang dan buat pengesahan, kalau di Jabi, Tok Ngulu JPKK tetap menjadi pilihan utama," ujarnya 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan