Berita :
Lima Pesalah Jalani Hukuman Sebat Syariah di Penjara Marang
Lima Pesalah Jalani Hukuman Sebat Syariah di Penjara Marang
Ahmad Zaeem Zainudin
15 jam yang lepas
245

MARANG, 7 Jun - Lima pesalah terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan menjalani hukuman sebat syariah di Penjara Marang, hari ini, selepas disabitkan atas kesalahan persediaan persetubuhan luar nikah dan khalwat berulang.

Kesemua pesalah berusia antara 21 hingga 25 tahun itu menjalani hukuman yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah Terengganu dalam satu prosedur yang berlangsung di Penjara Marang bermula sekitar jam 10.05 pagi.

Sebelum hukuman dilaksanakan, kesemua pesalah menjalani proses persalinan pakaian serta pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sesuai untuk menjalani hukuman seperti yang ditetapkan.

Seterusnya, hukuman sebat dilaksanakan menggunakan rotan yang ditetapkan mengikut prosedur syariah dan dikenakan pada bahagian belakang badan pesalah.

Hukuman selesai dilaksanakan lebih kurang pada jam  11 pagi tanpa sebarang insiden mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Terdahulu, pada 14 Mei 2026, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman tiga sebatan dan denda RM3,000 setiap seorang kepada satu pasangan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat berulang.

Dalam satu lagi kes pada 17 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan terhadap seorang lelaki dan seorang wanita selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan persediaan persetubuhan luar nikah.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan