Berita :
Terengganu Fokus Bantuan 'Joran Pancing' Bantu Rakyat Sara Keluarga
Terengganu Fokus Bantuan 'Joran Pancing' Bantu Rakyat Sara Keluarga
Hidayah Azlin
15 jam yang lepas
264

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar dengan memfokuskan kepada pemberian bantuan peralatan kerja atau 'joran pancing' berbanding bantuan sara hidup yang bersifat sepihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan rakyat mempunyai kelangsungan pendapatan untuk menyara keluarga secara berdikari.

Menurut beliau, ketika meneliti borang permohonan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Jabi, pelbagai jenis permohonan bantuan peralatan kerja daripada penduduk kampung telah diteliti dan diluluskan.

 "Antara peralatan yang diluluskan termasuklah mesin jahit, mesin menguli tepung, kompresor, spanar motosikal, pembeku (freezer), mesin pengisar (chopper), perkakas memasak, mesin kimpalan (welding), kanopi pasar tani, enjin air, enjin bot, motosikal roda tiga, peralatan gunting rambut, kawat bubu dan pelbagai lagi alatan kerja.

"Semua ini saya kira sebagai 'bantuan joran pancing'. Kita bukan sekadar memberi ikan, tetapi kita memberikan kail," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha memberikan sokongan terbaik kepada golongan yang memerlukan selagi berkemampuan.

Beliau turut mengharapkan agar bantuan peralatan yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil-kecilan mereka.

"Insya-Allah, selagi terdaya kita akan bantu sebaiknya. Apa yang penting adalah untuk memastikan rakyat kita boleh bekerja dan mencari rezeki bagi menyara keluarga mereka," katanya lagi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan