Bersukan Untuk Kecergasan Dan Ibadah
MARANG, 6 Ogos - Bersukan secara aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat sangat digalakkan dalam Islam bagi mengekalkan tahap kecergasan diri sekali gus membantu untuk menunaikan ibadah dengan sempurna dan khusyuk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha itu mampu mencungkil bakat golongan muda yang sememangnya gemar bersukan
"Kita sebagai orang muda mesti 'gagah' semuanya, tidak hanya jaguh di gelanggang futsal sebaliknya gagah juga masjid dan surau untuk beribadah dan mendengar kuliah terutama sekali pada waktu subuh.
"Niatkanlah bersukan ini untuk menguatkan badan dan mencergaskan badan untuk beribadah kepadaNya, insya-Allah mendapat pahala," katanya ketika merasmikan Perlawanan Futsal Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) dan Pelancaran Jersi DACS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung di sini baru-baru ini.
Katanya, program sebegini mampu menyemarakkan gaya hidup sihat di samping dapat menguatkan lagi ukhuwah di antara satu sama lain.
Tambahnya lagi, akal yang sihat datangnya daripada badan yang sihat. Gunakan masa muda sebelum masa tua.
"Al aqlu salim fil jismi salim. Akal yang cergas datangnya daripada badan yang sihat. Yang paling baik sekali ialah hati yang baik (qolbin salim). Datang menghadap Tuhan dengan hati yang sejahtera," jelasnya.
Turut hadir dalam perlawanan tersebut, Ketua DPPKM, Yusuf Abdul Hadi.