Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KEMAMAN, 17 September - Muhammad Husaini Jamaluddin akhirnya menamatkan gelarannya sebagai bapa tunggal apabila bertemu pilihan hati di hospital yang juga merupakan seorang ibu tunggal, Norehan Daud.
Kata Husaini perkenalannya dengan Norehan bermula ketika isterinya itu kerap ke hospital bagi menjalani rawatan Kanser Limfoma.
Jelasnya, ternyata jodoh milik mereka selepas tiga bulan berkenalan mereka bersetuju menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan kerajaan Terengganu.
"Perasaan saya sangat teruja dan seronok tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila turut menyertai walimatul urus perdana ini yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, kebaikannya ialah salah satunya dapat menjimatkan kos.
"Malah sebagai bapa tunggal dan ibu tunggal kami masing-masing menerima insentif sebanyak RM1,000, terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri serta Yayasan Pembangunan Keluarga dan Jabatan Hal Ehwal Agama Daerah Kemaman di atas usaha-usaha yang dijalankan ini, sewajarnya diteruskan pada masa akan datang supaya rakyat negeri ini terus mendapat manfaat daripada usaha yang dijayakan oleh kerajaan Terengganu ini," ujarnya.
Dia berkata demikian setelah diraikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah merasmikan Majlis Walimatul Urus Perdana 2022 bersama dengan 28 pasangan yang lain, di Padang Astaka Chukai, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut diadakan secara serentak membabitkan 147 pasangan di seluruh negeri termasuk Daerah Kemaman.
Majlis akad nikah di daerah ini telah diadakan pada sebelah pagi di Masjid Sultan Ahmad Shah, dan majlis resepsi di Padang Astaka.
Dalam majlis berkenaan, pasangan yang turut mencuri tumpuan ialah Siti Khadijah Ali dari daerah ini yang telah memilih menamatkan zaman bujangnya dengan pasangan dari Yaman Ebrahim Ali Ahmed Qaid Al-Nadhari.
Siti Khadijah berkata, perkenalan mereka berdua ketika masing-masing menyertai kelas mengaji tadarus al-Quran secara atas talian pada Ramadan yang lalu.
"Kami sebenarnya merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di mana saya telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan sekarang ini menjadi salah seroang guru agama, manakala pasangan saya ini masih meneruskan pengajian di peringkat sarjana.
"Ebrahim Ali tidak kekok malah fasih berbahasa Melayu kerana telah belajar di negara ini selama lima tahun,"ujarnya.
Mengenai walimatul urus perdana itu, Ebrahim berkata dirinya sangat teruja dengan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri itu.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri, Menteri Besar dan sebenarnya memang berhajat hendak kahwin pada Septemberi ini setelah dicadangkan oleh pasangan saya mengenai perkahwinan perdana ini, kami sama-sama bersetuju untuk turut menyertai kerana ia sangat membantu pasangan seperti kami bagi mendirikan rumah tangga,"ujarnya.