Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Bijak Rebut Peluang Jana Pendapatan Dari Zon Bebas Cukai- Rozi
Masyarakat tempatan perlu bijak mengambil kesempatan bagi menjana pendapatan dan merebut peluang pekerjaan menerusi pembukaan fasa satu Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, kelebihan produk pelancongan yang ada perlu diterokai serta dimanfaat oleh masyarakat terutama golongan belia memandangkan pembangunan pesat seumpama itu tidak berlaku di mana-mana daerah mahupun negeri lain.
"Sebaik sahaja Zon Bebas Cukai dirasmikan, pelbagai peluang kerja akan muncul...kita kena cepat dan bijak untuk merebut peluang ini,jangan biarkan orang lain(orang luar) menguasainya dan kita hanya berputih mata melihat ini berlaku.
"Banyak peluang dan kerja akan wujud dalam pelbagai aspek seperti perniagaan makanan, pelancongan dan perkhidmatan contohnya menjadi pemandu pelancong.
"Ini semua boleh menjana pendapatan ekonomi penduduk setempat di kawasan berhampiran Tasik Kenyir,"katanya kepada Teganukita ketika ditemui.
Rozi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong berkata, kini Tasik Kenyir bakal menjadi hab pelancongan Pantai Timur dan peningkatan kehadiran pelancong akan meningkat secara mendadak dari semasa ke semasa.
"Belia terutamanya perlu bijak dan adalah menjadi tanggungjawab mereka pada hari ini untuk terus berusaha agar dapat bersaing dalam apa jua bidang yang diceburi bagi menambah baik taraf kehidupan mereka,"kata beliau.
Bagaimanapun, tambahnya, ia bergantung kepada usaha gigih dan kreativiti sendiri untuk mengubah segala sesuatu itu menjadi berharga atau mampu mendatangkan pulangan.
Beliau menegaskan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir antara bukti usaha kerajaan dalam menambah baik taraf hidup dan merancakkan lagi pembangunan masyarakat setempat terutama di Hulu Terengganu.
"Bantuan pun sudah banyak diperkenalkan, ambil peluang ketika punyai ruang dan masa..jangan hanya duduk di rumah dan dengar hujah pembangkang, salahkan kerajaan, peluang sudah ada cuma inisiatif perlu diambil," katanya.