Bot Tenggelam Di Sungai Marang Berjaya Dinaikkan
Para nelayan dan penduduk berusaha membantu menaikkan bot yang tenggelam. |
Oleh: Aslam Wira
MARANG, 10 Jun - Sebuah bot milik seorang nelayan, Awang Muhammad, 58, yang hampir karam di Jeti Sungai Marang, semalam telah berjaya dinaikkan.
Kejadian sekitar jam 5.40 pagi itu disedari orang ramai dan pemiliknya sejam selepas bot berkenaan hampir karam sepenuhnya.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman yang mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang memaklumkan, dengan bantuan sebuah jentolak, bot tersebut telah Berjaya ditarik ke tepi jeti untuk dibaiki.
“Sedikit sumbangan dan bantuan kewangan segera telah diusahakan oleh pihak kami seperti kos bayaran jentolak untuk menarik bot naik ke permukaan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melihat proses menaikkan bot berkenaan di lokasi kejadian.
Turut hadir, Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng serta nelayan sekitar dan penduduk setempat.
Tambah Wahad lagi, bantuan susulan akan diusahakan dan dinilai semula sebaik sahaja pemilik bot membuat laporan polis berkenaan kemalangan dan kerugian yang dialami.
“Pemilik bot yang lain juga perlu berhati-hati dan lebih teliti bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang lebih-lebih lagi pada musim angin kuat ini,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik bot berkenaan, Awang, menjelaskan bahawa bot miliknya dipercayai tenggelam akibat berlaku sedikit perlanggaran dengan bot yang diletakkan berhampiran setelah dilanda angin kuat.
“Dianggarkan kerugian saya sebanyak RM 2000, iaitu bagi membaik pulih enjin api dan enjin besar yang rosak dan memohon doa semua supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.