Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak akan mengambil kira pada hari cuti umum bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, setiap DUN akan dibubarkan selepas pembubaran Parlimen dan mendapat perkenan dari Sultan.
“DUN Terengganu sudah membuat persiapan dan bersedia jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
“Pembubaran dewan adalah suatu perkara yang besar. Tidak kira termasuk hari cuti umum atau tidak, prosesnya perlu dibuat secepat mungkin kerana kita tidak mahu perkara yang melibatkan perlembagaan dan sebagainya akan terganggu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Menhubung Menyatu @Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor.
Katanya, mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, Dun Terengganu akan dibubarkan selepas pembubaran Parlimen dan mendapat perkenan dari Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, DUN Terengganu akan menyediakan surat pengisytiharan pembubaran dewan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Jawi.
“Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kemudiannya akan mohon menghadap Sultan Mizan untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi membubarkan DUN.
“Sebaik sahaja Tuanku perkenan, barulah pengisytiharan pembubaran diwarta dan dikeluarkan. Kita kemudiannya akan serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan,” katanya.