Berita :
Kerajaan Negeri Susun Semula Belanjawan Negeri Untuk Tangani Tekanan Ekonomi Global
Kerajaan Negeri Susun Semula Belanjawan Negeri Untuk Tangani Tekanan Ekonomi Global
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah menyusun semula belanjawan negeri sebagai respons terhadap tekanan ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu termasuk penilaian semula perbelanjaan serta inisiatif bantuan bagi memastikan sokongan kepada rakyat dapat diteruskan, khususnya kepada mereka yang lebih terdedah kepada krisis itu.

"Dalam keadaan kedudukan fiskal negeri yang ketat ekoran isu-isu yang berkait wang royalti petroleum, keupayaan Kerajaan Negeri agak terbatas.

"Namun demikian, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dan saya telah meminta YB SUK, Pejabat Perbendaharaan dan UPEN untuk menilai dan menyusun semula perbelanjaaan negeri dan inisiatif bantuan serta sokongan kepada golongan rentan.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri akan membuat penjajaran semula (re-alignment) terhadap Belanjawan Negeri," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sebentar tadi.

Menurut beliau, pengubahsuaian tersebut akan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang mampu menggerakkan ekonomi dengan kesan yang lebih meluas kepada rakyat.

"Pengubahsuaian belanjawan akan memfokuskan kepada perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi yang menjurus kepada 'sector based',

"- iaitu memberi tumpuan kepada sektor keutamaan yang mempunyai rantaian ekonomi terluas dan penglibatan rakyat paling ramai tanpa pengabaian sektor lain (merujuk kepada sumbangan dalam KDNK).

"Pelaksanaan program-program keraian juga akan dikurangkan serta dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada suntikan insentif ekonomi dalam pelbagai bentuk," tambahnya.

Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif segera bagi meringankan beban rakyat seperti pemberian moratorium kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) sehingga 12 bulan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sedang membuat kajian terhadap beberapa inisiatif -inisiatif lain termasuklah pemberian moratorium kepada peminjam-peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).

Inisiatif itu turut meliputi pemberian insentif pesawah serta kajian semula beberapa perkara di dalam Jadual Kadar Harga, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, khususnya melibatkan bahan-bahan binaan yang mengalami kenaikan harga yang mendadak.

"Selain dari itu, pelaksanaan projek pembangunan dan program akan dibuat penilaian semula keperluannya. 

"Projek atau program yang berimpak tinggi dan memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian, IKS dan pelancongan akan terus dilaksanakan," ujarnya.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan