SETIU, 19 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memastikan setiap lapisan rakyat menikmati kemudahan infrastruktur yang selesa menerusi pendekatan pembangunan berasaskan keutamaan.
Langkah itu dibuktikan menerusi penyiapan projek jalan baharu di Kampung Kuala Kubang serta pembinaan lintasan di Kampung Gong Dasar, Jabi, demi memudahkan urusan harian penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, fasa awal pembangunan infrastruktur jalan kampung sebelum ini memberi tumpuan khusus di kawasan yang mempunyai kepadatan serta jumlah rumah kediaman yang ramai.
Menurutnya, selepas hampir kesemua kawasan bertumpuan tinggi menikmati kemudahan asas tersebut, pihak kerajaan kini beralih pula ke fasa seterusnya iaitu menyediakan kemudahan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk secara relatifnya lebih kecil.

"Bukan bermakna kawasan yang kurang penduduk itu tidak penting, tetapi dari segi keutamaan, tentu sekali projek yang memberi manfaat kepada 50 buah rumah akan lebih diutamakan berbanding projek yang memberi faedah kepada dua buah rumah kediaman sahaja.
"Orang Jabi kata, priority (keutamaan)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pendekatan itu diterjemahkan menerusi pembinaan lintasan baharu di Kampung Gong Dasar yang dimanfaatkan oleh penghuni dua buah rumah di kawasan berkenaan bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
Jelas beliau lagi, biarpun sesuatu projek itu kelihatan berskala kecil bagi sesetengah pihak, impaknya amat bermakna dan memberi keselesaan yang besar kepada penerima manfaat.

"Penghuni dua buah rumah memerlukan lintasan ini bagi aktiviti harian mereka. Semoga semua rasa gembira dengan siapnya projek kecil ini di Kampung Gong Dasar, Jabi. Kecil bagi kita, besar bagi mereka," ujarnya.