DUNGUN, 19 Ogos - Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat peringkat DUN Sura menghimpunkan pelbagai agensi bagi menyediakan maklumat, penerangan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat setempat dalam satu program.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pendekatan berkenaan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan penerangan secara terus daripada agensi berkaitan mengenai kemudahan serta produk yang boleh dimanfaatkan mereka.
Menurutnya, antara agensi yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Taklimat daripada agensi-agensi yang datang ini insya-Allah akan memberikan sedikit sebanyak penerangan berkenaan bagaimana perjalanan kewangan kita dan bagaimana untuk kita mengatur kewangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat peringkat DUN Sura di sini hari ini.

Tanbahnya, masyarakat perlu mengambil peluang mendapatkan penerangan mengenai produk dan kemudahan yang disediakan agensi berkenaan supaya manfaatnya dapat digunakan mengikut keperluan masing-masing.
“Bukan sahaja KWSP, kita juga bersama Tabung Haji, Jabatan Akauntan Negara, PERKESO, YAPEIM dan PTPTN. Insya-Allah semua ini dapat memberikan penerangan dan membantu masyarakat.
"PTPTN misalnya bukan hanya berkaitan pembiayaan pengajian tinggi, malah turut mempunyai produk yang boleh dimanfaatkan ibu bapa bagi membuat persediaan pendidikan anak-anak.
“Dulu orang ingat PTPTN ini untuk sambung universiti sahaja, tetapi sekarang ada beberapa produk PTPTN yang penting untuk pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Penganjuran program itu merupakan antara usaha Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura untuk memberikan penerangan serta membantu masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan kemudahan yang disediakan pelbagai agensi.
“Kalau kita sudah tahu tentang kebaikan daripada penerangan yang disampaikan pada pagi ini, kita boleh sampaikan kepada yang lain,” katanya.
Selain sesi penerangan agensi, program berkenaan turut menyediakan cabutan bertuah serta Pasar Berkat yang menawarkan barangan kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada pengisian karnival.
