Cadangan Penyelenggaraan Infrastruktur TTI Dalam Perbincangan

KUALA TERENGGANU, 22 September – Cadangan menyelenggara infrastruktur dan monumen di Taman Tamadun Islam (TTI) sedang dalam perbincangan kerajaan negeri sedang dalam perbincangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, idea itu diperhalusi bagi menambah baik destinasi pelancongan berkonsepkan keindahan sejarah Islam yang dihiasi dengan teknologi moden itu.

Kataya, antara perancangannya adalah kerjasama dengan universiti tempatan terutamanya dalam bidang seni bina bagi membantu kerja baik pulih 22 koleksi yang berasal dari 20 buah negara.

“Kerajaan negeri sendiri akan memohon bajet daripada kerajaan pusat kerana usaha membaiki keseluruhan infrastruktur dan tarikan di TTI melebihi RM10 juta.

“Jika diluluskan, kerja penambahbaikkan dan penyelenggaraan pusat tarikan dengan lebih 160 kakitangan ini akan mengambil masa lebih dua tahun, kerana saiz kecil dan kerumitan reka bentuk setiap monument yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian pembukaan kembali TTI di Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, pagi semalam.

Sementara itu, menyentuh usaha melibatkan pusat peranginan dalam negeri sebagai gelembung pelancongan seperti Pulau Langkawi, Ariffin menjelaskan, proses tersebut diputuskan di persekutuan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kita sedang mengusahakan dua pulau iaitu Pulau Redang dan Perhentian supaya dipertimbangkan dalam pengecualian rentas negeri tersebut. Ini kerana proses dibuat secara berperingkat.

“Hasil perbincangan dengan pemain industry tersebut, mereka ingin sempadan dibuka sebelum tiba musim tengkujuh, namun begitu terdapat beberapa pengusaha yang berniat untuk buka sehingga Disember,” katanya lagi.