BESUT, 28 Oktober – Seramai 3,029 calon peperiksaan awam dari 23 buah sekolah menengah di Daerah Besut menerima bantuan pendidikan one-off bernilai RM100 seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan RM302,900 daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
Majlis penyampaian bantuan disempurnakan , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.

"Bantuan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pendidikan rakyat serta menjadi pemangkin semangat kepada calon untuk berusaha gigih mencapai keputusan cemerlang dalam SPM, STPM dan STAM 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Darul Iman di sini, baru-baru ini.
Dallam pada itu, Mohd Husaimi turut berbangga dengan rekod cemerlang pendidikan Terengganu yang terus mengungguli peperiksaan awam negara termasuk kejayaan mengekalkan Gred Purata Negeri (GPN) terbaik dalam SPM selama enam tahun berturut-turut dan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tertinggi bagi STPM.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar menggunakan bantuan dengan bijak, memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, serta sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.
"Gunakanlah bantuan ini dengan penuh tanggungjawab dan kesyukuran. Ia bukan sekadar sokongan kewangan tetapi dorongan moral untuk terus bersemangat menghadapi peperiksaan,” ujarnya.
Beliau juga tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada guru-guru dan pentadbir sekolah yang sentiasa komited mendidik serta membentuk sahsiah pelajar.
"Majlis ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkualiti, selaras dengan slogan 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera',"ujar beliau.