Caruman PERKESO Buat Suri Rumah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Zuraida mengulangi saranan agar kerajaan negeri dapat meneliti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat suri rumah di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berharap agar cadangan yang pernah dilontarkan olehnya dalam Sidang yang lalu, akan segera diperhalusi dan diluluskan.
Beliau meletakkan pengharapan yang tinggi agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar kebajikan golongan suri rumah terjamin dan terbela.
"Peratus komuniti suri rumah di Terengganu mencatat angka 53 peratus di mana peratusannya lebih tinggi berbanding wanita yang bekerja.
"Di sini dapat kita lihat betapa golongan suri rumah ini perlu disantuni dan dibantu agar institusi kekeluargaan yang harmoni dapat diwujudkan sekaligus komuniti suri rumah dapat turut menyumbang kepada kemajuan negeri," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku al-Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Beliau berpandangan bahawa para suri rumah harus didedahkan dengan ilmu kemandirian agar lebih bersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti perceraian atau kematian suami.
"Untuk makluman ahli dewan, Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah adalah Mercu Tanda PITAS2030 (Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030) di bawah Teras Strategik 7; Keterangkuman Kebajikan Rakyat dan Peningkatan Kedayaan Wanita.
"Saya ingin mencadangkan kepada semua pihak agar dapat memberi sokongan dalam usaha menjayakan Modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah," ulasnya lagi.
Zuraida menambah bahawa aplikasi modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah ini juga wajar diberikan kepada golongan lelaki yang merupakan ketua keluarga.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar elemen kesedaran dan tanggungjawab para suami dalam menguruskan rumahtangga dimasukkan ke dalam siri teks khutbah Solat Jumaat.