CBT Galakkan Komuniti Bangunkan Produk Pelancongan Setempat
Foto Oleh : Amiruddin Zamri
DUNGUN, 29 Oktober - Kerajaan Terengganu menggalakkan penduduk setempat untuk membangunkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang ada di kawasan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata langkah itu akan memastikan setiap lokasi meriah dengan kehadiran pelancong.
"Kita juga mahu memastikan setiap lokasi menarik di Terengganu tidak terbiar, kerana banyak kes sebelum ini tiada yang mengurus.
"Sebab itu kami minta supaya komuniti setempat bersama-sama pengusaha saling bantu membantu termasuklah pejabat ADUN," katanya.
Ariffin berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengindahan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti(CBT) di Kampung Pulau Serai di sini semalam.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun,
Dalam program itu Ariffin turut merasmikan 'Dungun Water Taxi' yang diusahakan oleh penduduk setempat.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 juta untuk pengindahan pusat CBT di seluruh Terengganu sehingga hujung tahun ini.
"Dengan kerjasama Pejabat Daerah, komuniti setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Agensi Pelancongan, di Dungun sehingga ini kita telah meluluskan RM35,000," ujarnya yang turut menyampaikan replika cek bernilai RM35,000 untuk Program Pengindahan Lokasi Pelancongan di Daerah Dungun kepada wakil Pejabat Daerah Dungun.
Mengulas lanjut katanya, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Serai, antaranya perkelahan, menikmati suasana matahari terbenam, memancing di samping aktiviti riadah dan aktiviti santai keluarga.
"Pulau Serai menjadi tumpuan di waktu petang water taxi yang menelusuri Sungai Dungun, program ini banyak membantu komuniti Pulau Serai dalam usaha mereka menjadi tarikan terbaharu Industri pelancongan di Daerah Dungun dan seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," jelasnya.