Cendol Pulut Durian Menangis Pikat Hati Penggemar

KUALA NERUS, 30 November - Cendol pulut sememangnya antara pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai, lebih mengiurkan sekiranya ia diserikan dengan isi durian segar, pulut atau diletakkan lebihan kacang merah.

Kadang-kadang disebabkan rasa kepingin, ada di antara kita sanggup memandu jauh mendapatkan cendol yang biasanya diadun bersama kuah santan dan nisan.

Berdasarkan faktor itu, mendorong Muhammad Fadhil Mohd Sabri, 23, yang sememangnya minat berniaga sejak dibangku sekolah menengah membuka Kedai Kalut Cafe di Gong Badak, Kuala Nerus.

Mempromosikan menu utama Cendol  Pulut Durian Menangis,  Ais Batu Campur Durian, Mee Sup Stambong 3 Serangkai dan  Mee Sup Stambong Puyuh 3 Beradik.

Kalut Cafe yang mula beroperasi pada Jun tahun lalu kini semakin memikat hati penggemar cendol durian.

Walaupun Terengganu kini luar musim durian, tidak mendatangkan masalah pada pemilik restoran itu untuk mendapatkan bekalan durian.

Harga cendol durian daripada isi segar durian  Musang King, D24, Tembaga, Kampung, D13, Kawen dan Ioi itu  ditawarkan dengan harga yang  sangat berpatutan iaitu serendah RM7 sehingga RM33 atau bergantung kepada harga semasa durian.

Fadhil berasal dari Kuala Besut dan menuntut di tahun akhir Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berkata rata-rata pelanggan yang mengunjugi Kalut Cafe pasti mahu mencuba cendol durian.

Katanya, walaupun buat masa sekarang di luar musim raja buah, tidak mendatangkan masalah bagi Kalut Cafe sekiranya pelanggan mahu menikmati menu itu, bekalan durian sentiasa ada.

“Kebanyakan mendapat bekalan dari Pahang dan Johor, selain ada menyimpan durian sejuk beku. Buat masa sekarang saya dapat hidangkan cendol pulut durian tembaga,” katanya ketika di temui Urusetia Penerangan Darul Iman, di restorannya baru-baru ini.

Fadhil ketika bercerita berkaitan perniagaan, dia minat berniaga sejak di bangku sekolah menengah, menjual pelbagai jenis kerepek kepada rakan sekolah selain meletakkan produk itu di koperasi sekolah.

“Awalnya cikgu marah, lama kelamaan beri  dorongan untuk terus berniaga kerana melihat kesungguhan saya berniaga.

“Tabiat itu  berterusan sehingga tamat belajar sekolah menengah,  awal beniaga di kaki lima jalan di hadapan Maktab Rendah Sains Mara, Batu Rakit, pada Februari 2019, kemudianya  terpaksa ditutup pada Mac tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memikirkan pelanggan tetap sudah ada dan ramai yang bertanya bila mahu kembali berniaga, saya membuat keputusan untuk  membuka Restoran Kalut Café  yang kini dibantu empat pekerja, semuanya penduduk setempat,”katanya.

 


Tag: